JOHOR BAHRU – Tiga perkara utama perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum Zoo Johor dapat dibuka sepenuhnya kepada umum Ogos depan.
Menurut Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, tiga perkara tersebut adalah melibatkan tangki septik bagi najis binatang, penambahbaikan tebing runtuh dan juga penyelenggaraan bagi sistem pendawaian dan perparitan.
“Ikut perancangan, Zoo Johor ini patut dibuka pada penghujung April, tapi ada isu yang tiba-tiba di luar jangkaan seperti tangki najis binatang telah masuk ke kolam takungan binatang.
“Jadi, kita nak buat tangki najis persendirian bagi setiap haiwan di zoo ini dan fasa dua kita laksanakan kolam takungan.
“Kita terpaksa lewatkan pembukaan zoo ini bagi memberi masa kerja-kerja mengorek tembok lama bagi menangani masalah tebing runtuh selain menyelenggara sistem pendawaian dan perparitan,” katanya pada Isnin.
Untuk rekod, Zoo Johor yang terletak di pusat bandar raya ini, mula dibuka pada 1928 dan merupakan zoo tertua negara dengan keluasan 12.5 hektar serta mempunyai lebih 100 spesies haiwan.
Bagaimanapun zoo berkenaan ditutup bagi proses penambahbaikan dan dijangka dibuka semula Ogos depan.
Tambah Mohd Jafni, kerajaan negeri Johor juga telah memperuntukkan RM7 juta sebelum ini dan menambah sebanyak RM1.1 juta bagi tujuan penambahbaikan zoo yang berusia 100 tahun itu sebelum dibuka kepada orang ramai.

